Tips asas mengembara di Yunnan, China

Tips asas mengembara di Yunnan, China
Yunnan adalah satu daerah dalam negara China yang menarik untuk dilawati. Selain keindahan alam, disini juga terletaknya dua kota lama China yang penuh dengan bangunan lama dan jalan berbatu cobbler. Walaupun kedua-dua kota itu telah dikomersilkan, masih kelihatan senibina lama yang masih terjaga. Bukan sahaja untuk pelancong luar negara, warga tempatan juga merupakan pelancong paling ramai di Yunnan.
Warga Kunming menyanyi dan menari di awal pagi dengan pakaian tradisional
 Disini ada beberapa tips asas untuk mengembara di Yunnan untuk rujukan awal bagi mereka yang bercita-cita untuk meneroka Yunnan.
  1. Pengenalan:
    1. Anda boleh mulakan perjalanan dari Kunming atau Chengdu dan berakhir di Xian
    2. Namun, biasanya, tiket kapal terbang pergi balik adalah lebih murah dari tiket sehala. Jadi, anda boleh mulakan dan mengakhiri pengembaraan di tempat yang sama. Cadangan saya, beli tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kunming. Kunming juga merupakan bandar terbesar di Yunnan.
    3. Ia juga adalah kerana dari Lijiang, Dali atau Shangrila, tidak ada banyak pengangkutan untuk ke Xian atau Chengdu, melainkan anda balik semula ke Kunming.
    4. Mod pengangkutan terbaik dari satu tempat ke satu tempat adalah dengan menggunakan keretapi. Anda boleh menaiki keretapi malam dari Kunming ke Lijiang atau Dali. Ia akan mengambil masa kira-kira 12 jam. Bas juga sesuai untuk perjalanan yang lebih singkat. Tetapi, satu yang saya perlu ingatkan bahawa, di dalam perjalanan bas, tandas yang disediakan di hentian rehat agak kotor untuk digunakan.
  1. Bagaimana untuk membeli tiket keretapi:  
    Keadaan dalam keretapi kelas ‘hard sleeper’
Anda boleh membeli tiket keretapi melalui laman web CTrip, tapi biasanya lebih mahal. Tiket akan dibuka 18-20 hari dari tarikh perjalanan. Jadi, saya kira lebih baik membeli ketika sudah sampai disana. Untuk yang tidak tahu berbahasa Cina seperti saya, ini langkah-langkah yang saya lakukan untuk membeli tiket:
    1. Periksa jadual keretapi disini
    2. Pilih tarikh, masa, nombor keretapi, kelas dan kedudukan katil (jika and mengambil katil).
    3. Terdapat beberapa kelas dalam keretapi. Tapi saya memilih kelas ‘hard sleeper’ untuk setiap perjalanan. Ia sudah cukup selesa saya kira. Mereka juga menyediakan bantal dan selimut tebal di kelas itu.
    4. Jika anda mengambil katil, pastikan tulis katil yang mana satu. Di kelas hard sleeper, ada 3 tingkat katil. Tingkat bawah adalah yang paling mahal, diikuti dengan tingkat tengah dan atas. Jika waktu perjalanan waktu siang, lebih baik anda memilih tingkat bawah atau tengah supaya mudah untuk melihat pemandangan. Jika waktu malam, saya cadangkan ambil yang paling atas sahaja. Di tepi tingkap sebelah kanan, ada disediakan 2 bangku  dan satu meja kecil untuk setiap ruang 6 katil, tetapi ia adalah ‘first come first serve’.
    5. Tulis semua maklumat dengan jelas
    6. Minta kakitangan hostel yang tahu bahasa Inggeris untuk terjemahkan segala maklumat yang telah anda salin ke bahasa Cina. Biasanya mereka boleh melakukan dengan percuma. Ada juga sesetengah hostel yang boleh membeli tiket untuk anda, namun caj mereka lebih mahal sedikit
    7. Pergi ke stesen keretapi terdekat atau Pajabat Tiket yang biasanya ada di bandar-bandar besar seperti Kunming. Pejabat Tiket biasanya lebih selesa dan tidak perlu beratur panjang seperti di stesen keretapi yang sentiasa penuh dengan manusia. Biasanya mereka akan mengenakan bayaran sebanyak 5 yuan untuk satu tiket.
    8. Tunjukkan maklumat yang anda sudah terjemahkan kepada petugas di kaunter dan sediakan duit secukupnya
    9. Setelah mendapat tiket, periksa semua maklumat sebelum meninggalkan kaunter. (Jangan jadi macam saya yang tersalah tarikh tiket untuk satu perjalanan dulu)
 * Lebih maklumat berkaitan keretapi di China disini


  1. Makanan 
    contoh menu yang terdapat di dinding kedai makan beserta harga
    1. Untuk mendapat makanan halal di Yunnan tidaklah begitu sukar kerana terdapat masyarakat muslim disini. Harga satu pinggan nasi atau mi di kedai-kedai kecil biasanya sekitar RM7-15 (15-30 Yuan)
    2. Disini, di kedai-kedai kecil yang biasa saya makan, mereka tak menyediakan air macam sirap limau atau teh ais, cuma air dalam botol sahaja. Harganya sekitar 3-5 yuan sebotol untuk teh ais, orange juice, dan lain-lain. Rasanya hampir sama seperti di Malaysia juga.
    3. Biasanya kedai makan muslim ada menulis tulisan dalam bahasa arab, seperti Tho’am Muslimin bermaksud ‘ tempat makan muslim’ ataupun ‘Bismillah’ ataupun tulisan ‘Halal’. Biasanya papan tandanya juga berwarna hijau. Selain itu, di masjid, masjid biasanya terdapat kedai makan juga.
    4. Biasanya di kedai-kedai ini mereka mempunyai gambar makanan yang ditampal di dinding. Jadi untuk mudah, cuma tunjukkan gambar makanan mana yang anda ingin makan.
    5. Kebanyakan kedai juga menyediakan mi mereka sendiri. Ia adalah sesuatu yang saya sangat suka tentang makanan disini, mi segar seperti mi tarik dan sebagainya yang di rebus sejurus sebelum dimasak mengikut menu yang dipesan.
    6. Saya makan di kedai-kedai kecil begini kebanyakan masa kerana ia menyediakan makanan sepinggan lengkap, seperti nasi goreng, mi goreng atau mi sup yang sesuai untuk saya yang mengembara sendirian. Menu juga nya agak sama diantara satu kedai dengan kedai lain. Jika anda mengembara beramai-ramai, boleh juga cuba di restoran yang lebih besar yang biasanya menyediakan lauk pauk untuk dimakan beramai-ramai.
    7. Terdapat beberapa kedai halal dalam Kota Lama Dali, namun saya tidak berjumpa kedai halal dalam Kota Lama Lijiang. Jadi saya biasanya ke kedai makan yang terletak di hadapan stesen bas. Terdapat beberapa kedai halal disitu.
  1. Cuaca
    1. Pada bulan Jun, cuaca disini sangat selesa. Tidak terlalu panas dan tidak begitu sejuk.
    2. Masa terbaik untuk ke Yunnna adalah sekitar April sehingga Jun.
    3. Namun musim hujan adalah antara bulan May sehingga Oktober
  1. Pengangkutan dalam bandar 
    The Red Land of Kunming
    1. Pengangkutan awam, terutamanya bas, sangat banyak di Kunming, Dali dan Lijiang. Masalah utama hanya saya tidak tahu nama stesen yang ditulis dalam bahasa Cina. Jadi, minta maklumat dari hostel untuk dari satu tempat ke satu tempat dan minta mereka menulis nama stesen dalam bahasa Cina.
    2. Ada sesetengah tempat menulis nama stesen dalam huruf latin moden seperti yang kita biasa gunakan, namun tak semua.
    3. Biasanya untuk bas dalam bandar, ia hanya berharga 1 atau 2 yuan untuk setiap perjalanan.
  1. Penginapan 
Penginapan untuk satu malam di bilik dorm adalah sekitar RM20-30 seorang (35-60 Yuan). Biasanya saya memilih Female Dorm yang berharga sekitar 40-55 Yuan. Ada juga Mixed Dorm yang biasanya lebih murah.
    1. Kunming – Saya tinggal di The Hump Hostel dan sangat mengesyorkan hostel ini. Selain lokasinya di tengah-tengah bandar, ia juga berdekatan dengan 2 masjid. Kedua-dua masjid itu juga menjual makanan halal. Selain itu, di belakangnya terdapat kedai roti halal dan sedap (mungkin Breadworks namanya). Roti-roti itu menjadi bekalan saya di dalam keretapi untuk perjalanan keretapi yang panjang. Ia juga hanya berhadapan dengan stesen bas.
    1. Dali – Di Dali pula saya tinggal di yang juga berdekatan dengan masjid dan terletak di tengah-tengah Kota Lama Dali. Pada waktu malam, laluan di depan hotel ini agak meriah juga.
    1. Lijiang – Jika anda kesini di musim yang kurang sesak, saya cadangkan, anda kesini tanpa menempah hostel. Disini terdapat beratus-ratus hostel di celah-celah lorong yang bersimpang siur. Kebarangkalian untuk sesat mencari hotel yang anda sudah tempah adalah agak tinggi. Jadi, lebih baik anda senaraikan beberapa hostel dengan kadar yang berpatutan, dan kemudian, apabila sampai, pergi ke hostel yang anda jumpa dahulu. Ia lebih memudahkan begitu. 
    2. Salah satu lorong sunyi Old Town of Lijiang
  1. Tips lain:
    1. Jika belajar bahasa Cina serba sedikit lebih digalakkan. Kebanyakan orang China tidak pandai berbahasa Inggeris. Mungkin berbeza dengan penduduk di bandar besar seperti Shanghai ataupun Beijing, di Yunnan, masih ramai yang tidak tahu bahasa Inggeris selain ‘Yes, No, Hi, Bye”.
    2. Boleh juga gunakan aplikasi Google Translate untuk masa kecemasan, tapi anda perlu ada internet setiap kali mahu menggunakannya
    3. Walaupun tak tahu bahasa Cina, pastikan anda tahu untuk mengucapkan terima kasih dalam bahasa Cina. “Xie Xie”. Ia adalah satu cara untuk mengakhiri perbualan bahasa ayam dan itik dengan warga tempatan setelah bertanya arah atau sebagainya. Ia juga cara yang paling mudah untuk warga tempatan mengetahui kita mencuba belajar bahasa mereka.
    4. Sentiasa bersedia untuk sesat. Jangan stress kan diri anda untuk pengembaraan anda menjadi sempurna. Saya sesat hampir setiap hari di Yunnan. Rancang perjalanan supaya tidak terlalu ketat. Tak guna pergi ke semua tempat yang ada, tapi dengan hati dan minda yang tertekan. Go with the flow. Be flexible. Dengan itu, anda lebih mudah untuk melihat cara hidup masyarakat setempat.
    5. Beli buah-buahan tempatan. Selain untuk sumber vitamin bagi perjalanan anda, ada juga sesetengah buah-buahan yang tidak terdapat di Malaysia seperti nectarine, plum hijau, ceri dan laici. Selain untuk snek berkhasiat, ia juga sebagai back-up untuk perjalanan seterusnya jika kalau-kalau susah untuk mendapat makanan halal. Saya sentiasa pastikan ada buah-buahan dalam beg.
    6. Merasai teh Yunnan dan teh Pu’er yang popular di Yunnan.
Pengembara yang pernah kesini sering membandingkan Kota Lama Lijiang dan Kota Lama Dali. Ia sentiasa menjadi perdebatan bagi mereka yang pernah ke sini.
Setiap dari mereka pastinya lebih menyukai salah satu kota ini lebih dari yang satu lagi.
Old City Of Dali di sebelah belakang, pandangan dari City Wall yang mengelilingi kota lama ini
Pada saya secara peribadi, saya lebih gemarkan Dali. Pertama mungkin kerana saya sampai di Dali dahulu sebelum Lijiang. Kedua, Lijiang membuatkan saya sesat teruk untuk hari pertama dan hari-hari selepasnya. Ketiga, Dali lebih relaks dan masih kelihatan lebih tradisional berbanding Lijiang yang penuh dengan manusia dan terlalu dikomersilkan. Dali juga lebih menarik kerana tasik dan gunung yang  mengawasinya.
Jadi, jika anda sudah ke sana, Kota Lama mana yang menjadi kegemaran anda? Lijiang atau Dali?


You may also like

4 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *