Cara cepat kumpul mata ganjaran Air Asia

Kali ni saya nak tulis pasal mata ganjaran Air Asia. Melainkan kita frequent traveler (travel 2,3 kali sebulan), nak kumpul mata ganjaran Air Asia sebenarnya agak susah. Tapi, sebenarnya, ada cara lain untuk dapat mata ganjaran Air Asia selain dari tempah flight. Contohnya, dengan shopping online atau tempah hotel.

 

Kalau korang perasan, bila pakai mata ganjaran, harga tiket sebenarnya jadi sangat murah terutamanya bila ada promo. So far, Air Asia mempunyai antara sistem air miles points yang sangat berbaloi saya rasa, berbanding points kad kredit ataupun points pasaraya.

 

Disini saya senaraikan satu per satu cara untuk dapatkan mata ganjaran Air Asia supaya kita dapat mata ganjaran lebih cepat, dan dapat beli tiket lebih banyak.

 

Pertama sekali, perlu ada akaun Big. Kalau belum ada sila register dekat sini. Percuma je. Lepas tu boleh ikut 9 cara ni untuk tambah mata ganjaran.

 

1. Online Shopping

Untuk mereka yang suka shopping online terutamanya dekat Lazada dan Zalora, ini adalah cara terbaik untuk tambah mata ganjaran. Caranya adalah, selepas beli barang dan nak bayar, masukkan nombor Big selepas confirm order. Untuk Lazada, 1 mata diberikan untuk setiap RM5, dan Zalora pula 5 mata diberikan setiap RM15 (contohnya kalau belanja RM50 di Lazada akan dapat 10 mata, dan kalau belanja RM50 di Zalora akan dapat 15 mata).

 

Selain dari Zalora dan Lazada, berbelanja dekat website Big Duty Free juga akan dapat mata iaitu satu mata setiap RM2. Maksudnya belanja RM50 dan dapat 25 mata (paling tinggi antara ketiga-tiga pilihan). Tapi big duty hanya applicable kalau korang nak travel dengan Air Asia, sebab barang-barang yang dibeli hanya dihantar ke dalam flight yang korang dah tempah untuk trip akan datang, bukan ke rumah.

 

Selain itu, banyak lagi website online shopping yang lain yang turut beri mata ganjaran Air Asia, iaitu Uniqlo, 11th Street, FashionValet, Fave, Photobook, Hermo, Digi, Kinokuniya, SenHeng dan banyak lagi. Boleh tengok list penuh dan cara nak dapatkan mata disini.

 

 

2. Beli belah/makan di shopping complex dan kedai terpilih

Setakat ini, hanya beberapa shopping complex yang kita boleh dapat mata ganjaran Air Asia iaitu di Paradigm Mall di Petaling Jaya, Quill City Mall di KL dan Gateway @ KLIA2.

 

Caranya adalah, selepas habis membeli belah di Paradigm Mall, pergi ke Concierge Counter dan tunjukkan resit dan nombor ahli Big. Disitu, ia boleh ditukar kan kepada mata ganjaran Air Asia. Kalau beli belah atau makan di Quill City Mall pula, cuma perlu scan resit untuk tukar mata dengan Apps Air Asia Big Loyalty.  2 mata ganjaran untuk setiap ringgit pada hari bekerja dan satu mata untuk setiap ringgit pada hari Sabtu dan Ahad.

 

Setiap ringgit yang dibelanjakan di gateway@KLIA2 juga boleh ditukar dengan 1 mata Air Asia. Cuma perlu pergi ke Concierge Counter, di Level 2 and 3 dengan resit pembelian.

 

Selain itu, Metrojaya dan Mydin juga memberikan mata ganjaran Air Asia dengan setiap pembelian disitu.

 

3. Tempah Penginapan

Kemana saja korang pergi untuk bercuti – tak kira dalam atau luar negara, sila tempah hotel dengan website macam dekat bawah ni untuk tambahkan mata ganjaran Air Asia. Setiap website ada cara sendiri, jadi baca satu-satu supaya mata ganjaran akan masuk dalam akaun Big.

 

Agoda – Ini adalah salah satu website kegemaran saya. Banyak jenis penginapan disini, dari hotel 5 bintang ke hostel backpackers. Harga juga antara yang termurah berbanding di website yang lain. Terutamanya bila bercuti di negara-negara Asia (termasuk dalam Malaysia), sila guna Agoda untuk menempah hotel. Nilai mata ganjaran bergantung kepada Agoda, kadang-kadang ada promo dan boleh dapat banyak mata. Tapi, tak semua bilik akan ada ganjaran mata – check betul-betul sebelum tempah.

 

Rocket miles – saya belum pernah guna, tapi ia tawarkan paling banyak points. Cuma pilihan tak sebanyak Agoda, terutamanya untuk hostel bajet, dan juga tak semurah Agoda. Tapi, kalau korang jumpa a good deals, memang berbaloi tempah hotel dengan RocketMiles untuk tambah mata ganjaran Air Asia.

 

Booking.com – Ini juga adalah salah satu website kegemaran saya. Konsepnya sama macam Agoda juga, cuma di Booking.com, nilai mata adalah tetap iaitu 1 mata untuk setiap USD1 – lebih rendah dari kadar mata di Agoda. Jadi, rasanya lebih baik tempah di Agoda, melainkan harga untuk bilik dan hotel yang sama lebih murah di Booking.com, atau pun bilik yang sama tidak diberikan mata di Agoda.

 

Tune Hotel – Ini merupakan anak syarikat Air Asia juga. Pilihan Tune Hotel masih belum banyak – iaitu satu di India dan UK, 2 di Indonesia dan 12 di Malaysia. Tune Hotel juga bole ditempah di laman web di atas, cuma mata ganjaran tak sama. Lebih baik tempah terus dari laman web Tune Hotel sebab biasanya lebih murah.

 

Rangkaian Hotel Sunway, Hard Rock, Hilton dan Concorde – Bagi yang selalu menginap di rangkaian hotel ini, bolehlah tempah melalui link dari Asia untuk tambah mata ganjaran. Ini bukan jenis hotel yang saya selalu pergi sebab ia lebih mahal dari hostel.

 

Ada beberapa lagi laman web tempahan penginapan yang bekerjasama dengan Air Asia untuk mata ganjaran seperti Hotels.com, Kaligo, Club Med dan AccorHotels. Senarai penuh boleh rujuk disini.

 

4. Tempah kereta sewa/bas

Kalau korang merancang untuk sewa kereta sewaktu mengembara kemana-mana, bolehlah tempah di 2 website ini untuk dapat mata ganjaran. Avis dan Budget adalah syarikat kereta sewa yang popular di negara seperti Australia, New Zealand, negara Eropah dan Amerika.

 

Untuk tempahan tiket bas pula (untuk perjalanan dalam Malaysia dan Singapura), boleh guna website Catch That Bus  atau BusOnlineTicket.com . Semua bas yang biasa macam Transnasional, Plusliner dan banyak lagi ada dijual disini. Selain tiket bas, ada juga tiket feri, keretapi dan airport transfer boleh dibeli di website ini. So, next time kalau nak balik raya, atau balik kampung bila cuti semester, boleh guna cara ini dan tambah mata ganjaran Air Asia untuk tiket kapal terbang.

 

5. Tempah aktiviti/ beli tiket atau pas

Selama ini saya tak pernah tempah aktiviti travel secara online sebab pertama memang jarang ambil tour, dan kedua, servis ini baru sahaja muncul beberapa tahun kebelakangan ini. Klook adalah antara website yang paling popular untuk menempah aktiviti macam beli pas ke Disneyland, beli pas keretapi dan pas muzium dan tour.

 

Selain Klook, Touristly juga menawarkan servis yang sama. Kadang-kadang harga yang ditawarkan di website ini lebih murah dari beli di tour agensi. Jadi, sangat berbaloi kalau dapat harga lebih murah, dan dalam masa yang sama boleh tambah mata ganjaran Air Asia.

 

Untuk aktiviti ekstrem, spesifik di Malaysia dan Singapura, Adventoro mungkin pilihan terbaik. Disini hanya ada aktiviti lasak dan outdoor macam panjat gunung Kinabalu, white-water rafting, melawat taman negara dan juga treking.

 

 

6. Kumpul mata kad kredit

Setakat ini, kad kredit yang ada affiliate dengan Air Asia cuma kad kredit Citibank. Tapi kad ini ada yuran tahunan – jadi ia bukan pilihan saya. Tambahan pula, perlu belanja dalam RM2500 sebulan untuk dapat lebih rewards macam upgrade, free meals dan sebagainya.

 

Tapi, kalau memang perbelanjaan kad kredit korang banyak dan rasa berbaloi untuk bayar yuran tahunan, kad kredit Citibank pilihan terbaik untuk kumpul mata Air Asia.

 

Selain itu, boleh juga tukar mata kad kredit lain – macam Maybank, RHB, Alliance dan sebagainya kepada mata Air Asia. Secara peribadi, saya rasa cara ini kurang berbaloi. Saya lebih suka tebus untuk gift card macam Ikea atau Jusco, berbanding tukar ke mata Air Asia. Tapi terpulang kepada perkiraan masing-masing.

 

 

7. Buat survey di YouGov

YouGov adalah website untuk buat survey tentang pandangan atau cara hidup orang awam dan sebagainya untuk tujuan pemasaran untuk syarikat-syarikat besar.

 

Sebagai orang awam, kita boleh beri input dengan menjawab survey yang ada dan dalam masa yang sama dapat kumpul mata. Mata dari survey ini boleh ditukar kepada mata Air Asia Big.

 

Caranya adalah jawab sebanyak survey yang boleh, kumpul mata sehingga 5000 dan tukar ke 2500 mata Big Air Asia. Kalau belum register, boleh register dekat link ni.

 

 

8. Jual beli saham

Kalau korang merupakan trader di RHB Trade Smart dan Rakuten Trade, mata ganjaran boleh ditukar dari yuran jual beli saham (brokerage fees). Untuk mereka yang aktif bermain saham, bolehlah ambil kesempatan ini untuk kumpul mata Air Asia. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

 

 

 

9. Isi minyak di Petron

Setiap 1 liter minyak dengan menggunakan kad Petron Miles Point boleh ditukar dengan 2 mata Air Asia. Ini antara ganjaran petrol terbaik untuk air miles. Tapi cara nak tebus agak leceh dan perlu isi borang dan hantar emel.

 

Tapi kalau betul-betul gigih, memang berbaloi. Terutamanya untuk mereka yang memang selalu isi minyak dekat Petron, jangan abaikan pilihan ini sebab minyak memang kita selalu guna sehari-hari. Jadi tak ada pembaziran semata-mata untuk cari points.

 

So, itulah 9 cara untuk dapatkan mata ganjaran Air Asia selain dari tempah kapal terbang. Tak semestinya kita perlu guna semua semata-mata nak kaut mata ganjaran dengan cepat – tanpa sedar, dalam masa yang sama berbelanja lebih banyak dari yang sepatutnya.

 

Jangan membeli/menempah apa-apa hanya untuk mendapat mata ganjaran – ia tak berbaloi dan mungkin akan buang duit saja. Rule of thumb, beli/tempah apa yang perlu, mengikut bajet dan perbelanjaan biasa dan guna cara bijak supaya dapat ganjaran along the way.

 

Sekali lagi, jangan beli sesuatu untuk dapat mata ganjaran semata-mata. Not worth it!

 

Kalau tak berminat dengan mata ganjaran, mungkin korang berminat dengan Air Asia Pass 

*Saya tak ada kena mengena dengan Air Asia dan blog ini tak dapat apa-apa komisen untuk promote. Cuma, saya selalu guna Air Asia dan so far, bagi saya, this is the best airlines untuk backpackers.

FYI, 100 mata ganjaran hanya bernilai RM1 (lebih kurang). 

 



You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *